Pasca PRU13: Pemikiran kontemporari politik Islam dalam krisis? — Marwan Bukhari A. Hamid

16 May


16 MEI — Beberapa isu, peristiwa dan reaksi umat Islam terhadap beberapa wacana politik tanah air sedang memberi isyarat bahawa pemikiran politik Islam kontemporari di tanah air kita ditimpa krisis. Saya berpandangan amat wajar untuk kita merenung dan berfikir akan krisis tersebut, lebih-lebih lagi pada saat suasana politik negara kita tidak mendidik untuk berfikir, melainkan kita sendiri memaksa untuk meninjau apa yang berlaku dan benarkah yang dianggap krisis merupakan krisis? 

Tentang hubungan antara agama dan politik

Mengulas tentang dunia Muslim dan pemikiran mereka tidak dapat lari daripada mengulas sumber-sumber yang menjadi rujukan mereka dalam kehidupan, selain tentang “bagaimana” mereka berinteraksi dengan dunia moden yang serba mencabar ini sambil berpegang dengan sumber-sumber (al-Quran, al-Hadis dan teks-teks tradisi) yang menjadi rujukan. Soal hubungan agama dengan politik sentiasa menjadi topik yang berlarutan, namun malangnya seringkali ia berlangsung dengan penuh mengecewakan sejak berdekad-dekad lamanya.

Ia bermula dengan kekacauan cara berfikir yang ditimbulkan oleh sebahagian yang mengaku sebagai “salafi” apabila perbincangan politik dibahaskan secara terlalu literal. Tokoh ilmuan Muslim antarabangsa, al-Qaradhawi mengulas dan mengkritik fenomena “literal dalam nas-nas berkaitan al-muamalat” tersebut dalam banyak karya beliau seperti as-Siyasah as-Shariyyah fi Dhau’ Nusus as-Shariah wa Maqasidiha dan Dirasah fi Fiqh Maqasid al-Shariah  atas nama az-Zhohiriah al-Judud  yang membahaskan persoalan-persoalan agama secara terasing daripada objektif-objektif Shariah. Di tangan mereka, agama seperti hanyalah halalisation dan  haramisation; lantas ditolak wacana-wacana semasa dalam pemikiran politik atas alasan bidaah. Al-Qaradhawi semasa mengulas fenomena tersebut menyatakan:

“Mereka menolak petikan daripada selain kita (Muslim), menganggapnya sebagai perkara baru dalam agama dan segala perkara baru adalah bidaah, setiap bidaah adalah sesat dan setiap kesesatan balasannya neraka. Lantas mereka menganggap demokrasi seluruhnya (kemungkaran) yang wajib ditentang, sementara penerimaan pandangan majority (bidaah Barat) yang diimport.”

Demokrasi haram, penubuhan parti haram, pengehadan tempoh pemerintahan haram dan segala idea-idea baru akan dibalas haram oleh mereka dan golongan yang menuruti mereka. Kita perasan di tanah air kita fenomena halalisation dan haramisation ini berlangsung hangat terutama menjelang musim pilihanraya. Contohnya kita tidak lupa apabila ada sebahagian golongan agama yang mengharamkan pengundian calon-calon bukan Muslim khasnya yang datang dari DAP. Penulisan ini bukan ruang untuk membincangkan secara ilmiah dan mendalam persoalan tersebut, tapi sesuatu yang sungguh wajar kita banteras ialah fenomena mereka yang “menghidupkan” (mematikan!) wacana pemikiran politik Islam kontemporari dengan berkata “haram” semata-mata. ia adalah suatu krisis yang memandulkan khazanah pemikiran kita. Awalnya ia mungkin sebuah tindak-tanduk yang mengharamkan falsafah politik, akhirnya tanpa sedar ia bertukar menjadi sebuah falsafah yang mengharamkan segala pandangan yang berbeda dengan mereka, “min tahrim al-falsafah ila falsafah at-tahrim” (daripada mengharamkan falsafah kepada falsafah yang mengharamkan) sebagaimana diulas seorang penulis bernama Turki al-Hamad dalam bukunya as-Siyasah bayn al-Halal wa al-Haram.

Tentang agama dan politik, sebahagian gerakan Islamis pula masih gagal menjelaskan secara kritikal bagaimana sebenarnya hubungan antara kedua-duanya. Apabila disoal, mereka akan menjawab ringkas; “agama dan politik tidak boleh dipisahkan”. Soal kepercayaan dan pendirian kaum Muslim yang sentiasa melihat kehidupan dan isu-isunya menerusi kaca mata tradisi agama mereka, ia dihormati dan tidak disangkal. Namun wajarlah polemik hubungan antara agama dan politik ini dibincang kritis oleh mereka, contohnya soal bagaimana sebenarnya agama berinteraksi dengan politik? Soalnya juga ialah bagaimana membedakan antara pembahagian ruang dalam wacana agama dan politik? Adakah memandangkan politik berhajat kepada agama, dan mereka merupakan sebuah gerakan politik berorientasikan agama, maka segala idea dan pandangan politik mereka merupakan “agama”? Persoalan tersebut mestilah dibincang serius dan kritikal memandangkan jika tidak ia akan terus menambah kekeliruan dan campur aduk yang tidak seimbang antara dua ruang, dibimbangi akhirnya wujud unsur pemaksaan idea-idea politik atas nama agama dan autoriti khasnya dalam sebuah masharakat jamak agama dan budaya seperti Malaysia.

Demikian juga dengan persoalan antara peranan negara, komuniti, keluarga dan peribadi. Kerajaan bukan ibu bapa kita, ibu bapa kita bukan kerajaan. Komuniti ada tanggungjawabnya, kerajaan ada tanggungjawabnya. Keluarga, komuniti, sekolah, universiti dan kerajaan pasti akan mempunyai tanggungjawab yang berbeda, malah bentuk dan jenis kemungkaran yang mesti dicegah juga berbeda kuasa dan peranannya. Rasuah, salah guna kuasa, kes-kes jenayah dan sebagainya antara kemungkaran yang mesti diselesaikan kerajaan, tapi etika berpakaian, waktu keluar malam dan sebagainya pula merupakan tugas ibu bapa, atau rakan-rakan (komuniti), bukannya tugas kerajaan. Ada beberapa masalah yang memerlukan kerjasama dan tanggungjawab oleh kerajaan dan komuniti, tetapi bentuk tanggungjawab pastinya berbeda. Ada pula isu-isu yang hanya melibatkan komuniti dan ada pula yang hanya berkaitan peribadi dan komuniti. Saya melihat, wacana pembahagian tugas dan peranan antara keluarga, komuniti dan kerajaan masih tidak berlangsung dengan baik oleh mana-mana kumpulan Islam sedangkan ia mempunyai perkaitan rapat dengan persoalan hubungan antara agama dan politik.

Gerakan Islamis dan kaum cendikia awam yang memberi perhatian terhadap perbincangan ini juga haruslah sedar akan keperluan untuk memperbaharui wacana-wacana tentang hubungan agama dan politik. Pengalaman Islamis pada zaman kolonial sudah tentu tidak sama dengan apa yang mereka sedang hadapi pada zaman ini. Saya memberikan contoh apabila dibincangkan soal negara Islam dan negara sekular, kandungan perbincangannya pada hari ini mempunyai perbedaan dengan apa yang dibincangkan pada era kolonial dan awal pasca-kolonial. Teori Barat mungkin menyatakan; secularisation = freedom = religious pluralism = democracy, tapi akhirnya yang berlaku ialah secularisation = colonialism = de-Islamisation = dictatorship. Justeru apabila diajak mewacanakan soal negara Islam dan negara sekular, haruslah dinilai kembali wacana yang lalu dan disusun kembali menurut konteks hari ini dan menurut latar sesebuah negara, tanpa meninggalkan apa yang diyakini mereka. Demikian juga tidak wajar perbincangan tersebut hanya memberi kita dua pilihan sahaja iaitu sama ada hitam atau putih; sama ada negara Islam atau negara sekular.

Justeru tidak dapat tidak dalam projek pengharmonian antara agama dan politik ini, ditentukan apa itu objektif-objektif Shariah (fundamental values) di sebalik sekalian perdebatan dan wacana yang diadakan, contohnya antara objektif utama Shariah menerusi pintu politik ialah keadilan, keamanan, kemuliaan manusia dan kebebasan. Dunia yang makin kompleks dan cabaran yang makin berbeda mengkehendaki penilaian semua tentang persoalan-persoalan di atas, dengan menyediakan jawapan yang tidak lagi utopia dan simplistik, tetapi lebih realistik dan menepati objektif-objektif Shariah yang mesti dicapai.

Negara untuk kebaikan semua warganegara, bukan untuk kepentinganan golongan Muslim sahaja

Krisis dalam pemikiran kontemporari politik Islam khasnya di tanah air kita menjadi makin rumit apabila soal interaksi antara Muslim dan bukan-Muslim telah dicacatkan menerusi perbincangan yang bersifat sektarian dan penuh dengan sentiment keagamaan. Kita berada dalam kesempitan dada apabila para pemimpin jadong (iaitu jahat, bodoh dan sombong dan dibantu cita bencana) telah mengambil kesempatan realiti kepelbagaian agama untuk mengapi-apikan antara Muslim dan bukan-Muslim, sekaligus menyempitkan wacana pemikiran politik Islam, khasnya berkaitan hubungan antara agama.

Prof Dr Louay Safi, tokoh intelektual Muslim yang terkenal telah menulis satu artikel menarik bertajuk Linas’a ila bina’ dawlah madaniyyah tahmi huquq al-muwathinin, la dawlah diniyyah tar’a masolih al-mu’minin (Ke arah membina negara madani yang melindungi hak-hak warganegara, bukannya negara agama yang menjaga kepentingan orang beriman), beliau menutup tulisan itu dengan menyatakan;

“Legitimasi politik terlaksana menerusi pelaksanaan prinsip-prinsip umum yang dibawa piagam Madinah bukannya menerusi pelaksanaan hukum-hukum fiqh yang khas untuk pengikut agama Islam. Perjanjian Madinah yang mentadbir kehidupan Rasulullah saw dan para sahabat tidak menyentuh pelaksanaan hukum-hakam Islam dengan gambaran sempit yang diseru oleh sebahagian golongan beragama pada hari ini. Menerusinya ia mahu menukarkan sistem politik kepada sistem diktator yang religius, bertentangan dengan jawhar agama dan ruh Islam; keadilan, kesamarataan, saling membantu, saling bermaafan, menghormati kepelbagaian agama, pilihan-pilihan manusia dan kebebasan rakyat, jauh daripada dikte-dikte pemerintahan mutlak atau negara yang diktator.”

Ternyata politik berorientasikan ketakutan dan sentimen keagamaan dan perkauman telah mengalihkan perhatian banyak pihak akan perbincangan sebenar yang wajar diangkat. Lebih memburukkan keadaan apabila segelintir pihak telah memetik beberapa teks klasik mengenai hubungan antara Muslim dan bukan-Muslim dengan keluar dari konteks yang dikehendaki. Mereka menimbulkan persoalan “kafir harbi” sedangkan sekalian rakyat sama ada penganut agama Islam, Hindu, Buddha, Kristian, Atheist, Agnostik dan lain-lain merupakan warganegara yang sah, mempunyai hak-hak yang mesti diberi dan mempunyai tanggungjawab yang mesti dilaksana. Hal tersebut telah diulas oleh ramai tokoh ilmuan Muslim seperti Fahmi Huwaydi menerusi karya terkenalnya Muwathinun La Dzimmiyyun dan Prof Dr Muhammad Imarah turut menulis dalam pelbagai bukunya. Salah satunya ialah dalam buku Thawrah 25 Yanayir (Revolusi 25 Januari), beliau semasa mengulas tentang konsep kewarganegaraan telah menulis:

“Kesetiaan seseorang warganegara terhadap negaranya mewajibkan ia berlepas diri daripada musuh-musuh negara tersebut. Sepertimana untuk negara ada hak-hak ke atas warganegara, demikian juga sesungguhnya untuk warganegara ada hak-hak ke atas negara dan rakyatnya. Antara hak yang terpenting ialah; kesamarataan dalam persamaan peluang (equal opportunities), penafian diskriminasi dalam hak-hak politik, sosial dan ekonomi disebabkan warna kulit, kelas dan agama, sambil merealisasikan perpaduan sosial yang menjadikan rakyat jasad yang satu.”

Demikian sebagaimana tersebar dalam teks-teks klasik dan semasa politik Islam bahawa interaksi antara Muslim dan bukan-Muslim terasnya ialah konsep Lahum ma lana wa ‘alayhim ma ‘alayna iaitu soal hak dan tanggungjawab sama ada Muslim ataupun bukan Muslim adalah sama dalam sesebuah negara. Malangnya konsep ini tidak begitu diangkat ke tengah-tengah masharakat di Malaysia gara-gara sentimen agama dan kaum yang sempit. Selagi kita tidak keluar daripada sentimen keagamaan dan perbuatan memetik teks-teks klasik politik tanpa meraikan realiti semasa, selagi itulah kita akan terus terjerumus dalam gua kejahilan dan kemunduran karena kita akan gagal memberi fokus terhadap projek pembaikian dan perobahan dalam pemikiran kontemporari politik Islam.

Al-Quran bercakap tentang kemuliaan anak-anak Adam (17:70), tiba –tiba sebahagian Muslim bercakap tentang kemuliaan dan kehormatan Muslim semata-mata, lantas mengabaikan hakikat setiap manusia mesti dimuliakan dan ada hak-haknya yang wajib ditunaikan. Al-Quran menyebut tentang konsep keadilan dalam menjatuhkan hukuman antara manusia (4:58), ada yang melupakan soal manusia selain mereka, lantas hanya bercakap soal adil dan saksama “sesama kami”, yang menganut agama kami! Al-Quran melarang kaum Muslim daripada bersikap tidak adil sekalipun terhadap kaum yang mereka benci (5:8), sebahagian Muslim pula bercakap soal lebih baik mengundi pemimpin Muslim yang jadong berbanding bukan-Muslim yang berkredibiliti dan terbukti keadilannya dalam mengurus tadbir. Apabila risalah agama merupakan kasih sayang untuk sekalian alam (21:107) bukan semata-mata untuk Muslim apatah lagi bangsa Melayu, bererti wacana negara yang mahu ditegakkan atas aspirasi dan keyakinan beragama haruslah memberi kebaikan kepada semua tanpa mengira agama, bangsa dan latar belakang sosial.

Atas nama Islah, dari sini kita bermula

Kita tiada pilihan lain, selain keluar dari kejumudan dan jalan gelap yang sedang menimpa masharakat kita khasnya di tanah air, kita wajib menggantikan wacana politik yang berorientasikan halalisation dan haramisation kepada wacana-wacana soal etika-etika yang berada di sebalik praktikal politik. Krisis yang disebutkan mesti ditangani atas semangat perobahan (at-Taghyiir) dan pembaikian (al-Islah), lantas memerlukan kerjasama banyak pihak sama ada intelektual, ahli politik mahupun masharakat kebanyakan.

Untuk menjelaskan secara ringkas aspirasi Islah dalam pemikiran kontemporari politik Islam khasnya di tanah air kita, saya menjelaskan pandangan-pandangan di bawah secara ringkas:

Revolusi etika  (Ethical revolution — at-Thawrah al-Akhlaqiyyah)

Tentang ethical revolution, saya meminjam perkataan yang digunakan oleh intelektual terkenal, Dr Jasser Auda semasa beliau memberi ucapan dalam satu majlis di Qatar pada 9 Mac 2013. Kita melihat betapa seluruh dunia sedang menghadapi krisis moral dan etika dalam segenap lapangan kehidupan termasuk politik. Ini adalah zaman di mana sistem kehakiman yang diharap bisa memberi keadilan, sistem kehakiman pula menjadi pelindung kepada pemimpin jadong dan koruptor kelas atasan. Institusi-institusi pendidikan yang asalnya sebagai tempat mendidik manusia dan tempat pembudayaan ilmu, tapi akhinya ia menjadi tempat kreativiti terhalang, kebebasan intelektual menjadi terlarang. Sementara itu, kerusi-kerusi politik bukan lagi menjadi medium melaksanakan tanggungjawab dan berbakti kepada masharakat, sebaliknya tempat mengumpul kekayaan dan harta benda.

Reaksi dan respon sebahagian masharakat dunia terhadap sekalian kecelaruan tersebut ialah dengan turun ke jalan raya dan menjatuhkan pemimpin diktator daripada singgahsana kuasa. Itu salah satu tindakan manusia berani dan bermaruah, tapi ia tidak benar-benar cukup karena pada saat ini kita sangat berhajat kepada revolusi intelektual dan spiritual. Supaya perobahan politik dan dunia yang dicita-citakan itu berlangsung lebih baik, islah radikal pada sisi intelektual dan spiritual sangat diperlukan. Negara bukanlah matlamat akhir, sebagaimana difikirkan oleh sebahagian Islamis ataupun bukan Islamis, tetapi negara salah satu jalan penting demi mencapai kebaikan.

Untuk merealisasikan ethical revolution dalam pemikiran kontemporari politik Islam, wajarlah kita memandang politik dengan melihat “apa di sebalik apa”, dan di sebalik pemikiran kontemporari politik Islam, ‘apa di sebalik apa’ ialah objektif-objektif tertinggi Shariah (Maqasid as-Shariah).

Keadilan, amanah, kebebasan, kemuliaan insan, keamanan, kebajikan, perpaduan nasional  dan pelbagai lagi nilai-nilai fundamental telah ditinggalkan daripada dibincang serius untuk dicapai dalam praktikal politik tanah air kita. Gerakan-gerakan Islamis dan ahli-ahli politik yang berada di kancah politik mestilah menjadikan sekalian nilai-nilai fundamental sebagai tujuan dan panduan dalam praktikal politik demi kepentingan negara dan warganegaranya.

Islam dan demokrasi

Kediktatoran wajib ditolak walau atas apa nama sekalipun, Abdur Rahman al-Kawakibi menulis:

“Kediktatoran merupakan musuh kebenaran, musuh kebebasan dan merupakan pembunuh kedua-duanya. Kebenaran merupakan bapa kepada manusia, sementara kebebasan pula ibu mereka. Rakyat merupakan anak-anak yatim yang tidur dan tidak mengetahui apa-apa, sementara para ilmuan pula merupakan saudara mereka yang bijaksana. Sekiranya mereka (golongan berilmu) mengejutkan rakyat, pasti rakyat akan bergerak aktif. Adapun jika para ilmuan meninggalkan mereka, mereka akan kekal sebagaimana sebelumnya, lantas akan bersambung tidur mereka (rakyat) dengan kematian.”

Satu perbincangan yang telah lama berlangsung, masih berlangsung dan berkemungkinan akan terus berlangsung ialah mengenai Islam dan demokrasi. Untuk projek al-Islah, kita mesti sentiasa mengulang bahawa jawhar-jawhar agung agama Islam tidak bertentangan dengan konsep-konsep umum yang wujud dalam demokrasi. 

Malek benNabi semasa mengulas tentang Islam dan demokrasi, ia menyebut bahawa prinsip-prinsip demokrasi mengajar manusia tentang membebaskan diri daripada diperhamba sesiapa dan daripada memperhamba orang lain, demokrasi juga antara teras utamanya ialah kemuliaan manusia karena ia projek menolak sebarang tindakan perhambaan dan kecenderungan seseorang untuk memperhamba. Justeru demokrasi menurut Malek benNabi ialah projek pendidikan karamah insaniyyah (human dignity) yang mesti bermula dengan merobah apa yang ada dalam diri manusia terlebih dahulu.

Dalam konteks tanah air kita, pendidikan nilai-nilai teras demokratik mesti terus dipergiat karena kita tidak bisa membina sebuah negara yang demokratik semata-mata dengan meletakkan perkataan demokratik dalam perlembagaan, manifesto atau nama parti, tetapi demokrasi akan berlangsung baik apabila rakyat mengetahui bahawa perjuangan menolak penipuan, korupsi dan kediktatoran ialah perjuangan yang hanya bisa didokong oleh pemilik dhamir yang menghayati nilai-nilai demokratis. Hanya manusia yang merdeka dan mengangkat kemuliaan insan bisa membina sebuah negara demokratik dan berpartisipasi dalam membentuk sebuah masharakat dan negara yang harmoni.

Perbincangan kritikal

Untuk menjayakan aspirasi Islah dan menangani krisis pemikiran kontemporari politik Islam di tanah air kita, wacana kritikal tentang hal tersebut wajar terus dihidupkan. Tanpa menafikan kebaikan wacana antara idea, fahaman dan agama, namun wacana yang bertujuan menyelesaikan hal-hal dalaman pemikiran politik Islam tidak boleh dikesampingkan. Saya memberi contoh, pembacaan teks-teks klasik tidak wajar berlangsung literal hingga apabila ditanya sesuatu soalan, terus dikeluarkan bulat-bulat apa yang wujud dalam teks-teks klasik. Bahana sikap tersebut ialah timbulnya isu “kafir harbi”, “darul kufr”, “pembangkang khawarij”, “haram pilihanraya” dan sebagainya.

Penulis buku “Who Needs an Islamic State”, Dr Abdel Wahab el-Affendi dalam bab kedua buku itu telah menulis satu sub-topik bertajuk”Problems with the Classical Theory”. Beliau mengulas salah isu penerimaan al-Mawardi perihal penamaan (penentuan) pemimpin oleh pemimpin sebelumnya, dalam kitabnya, Ahkam Sultoniyyah:

“Al-Mawardi memetik kisah Abu Bakr melantik Umar menjadi penggantinya sebagai dalil bahawa adalah sah untuk mana-mana pemerintah memilih penggantinya. Beliau mengabaikan hakikat bahawa tindakan sedemkian adalah sah bukan kerana individu menentukannya, tetapi juga kerana tindakan itu disahkan oleh umat-umat Islam yang utama pada masa itu. Beliau turut terlepas pandang, perbezaan ketara antara perlantikan Umar oleh Abu Bakr dan paksaan melalui kekerasan Muawiyah melantik anaknya sebagai pengganti. Ini merupakan kekurangan di dalam mana-mana teori.”

Demikian juga contohnya isu ahlu adz-dimmah dan kewarganegaraan, Tariq Ramadan menulis (terjemahannya):

“Konsep kewarganegaraan (al-muwatanah) kini merupakan rujukan yang diterima umum, walaupun sesetengah fuqaha literalis atau tradisionalis ragu-ragu untuk menggunakannya atau menolaknya secara keseluruhan (hanya kerana ia bukan sebahagian daripada istilah klasik Islam)”

Khatimah

Sama ada disedari atau tidak, di tanah air kita krisis pemikiran kontemporari pemikiran Islam sememangnya berlaku, ia jelas tampak apabila kandungan perbincangan dan persoalan yang ditimbulkan masih lagi berlegar-legar pada sudut Muslim dan bukan Muslim, Islam dan demokrasi dan akhirnya menatijahkan halalisation dan haramisation oleh segelintir golongan literal. Untuk menghadapinya kita hanya ada dua pilihan iaitu; pertama, melakukan Islah dan ethical revolution. Kedua, kembali kepada yang pertama.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

 

via http://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/pasca-pru13-pemikiran-kontemporari-politik-islam-dalam-krisis-marwan-bukhari-a.-hamid/

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: