Pilih pemimpin realiti bukan lagenda — Rahman Shaari

10 May


17 JULAI — Tanda tanya mengenai tarikh Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) sedang membengkak di fikiran rakyat Malaysia. Dari semasa ke semasa, mereka meramal tarikh, jika terlepas satu tarikh, diramalkan tarikh baru. Namun, dalam sistem kita, hanya seorang penentunya: Perdana Menteri. Oleh itu, ramalan tarikh adalah sia-sia, melainkan kita suka meramalnya seperti kita suka meramal pasukan manakah yang akan menang dalam pertandingan bola sepak.

Pada masa ini, dua pihak bersungguh-sungguh untuk menang. Kemenangan bagi pihak yang bertanding mempunyai makna pencapaian tetapi bagi pengundi kemenangan ialah penantian satu pelaksanaan.

Mereka mengundi kerana harapan. Pilihan raya bukannya bola sepak kerana kemenangan dalam pilihan raya membawa kesan jauh dalam kehidupan. Kemenangan pertandingan bola sepak hanya untuk dipercakapkan beberapa hari.

Pelbagai perkara diperkatakan dua pihak yang berentap. Pihak kerajaan — Barisan Nasional — berbicara mengenai transformasi dan buktinya ditunjukkan melalui bantuan dan perancangan untuk kebaikan rakyat.

Pengundi berharap transformasi akan berterusan. Pihak membangkang pula berusaha meyakinkan rakyat bahawa mereka akan berbuat sesuatu yang lebih baik, di samping memperkecil apa-apa yang dibuat kerajaan.

Pengundi sentiasa menimbangkan kemungkinan adakah janji akan ditepati. Daripada kempen, ceramah atau aneka pertemuan lain, kita mendengar masing-masing berhujah dengan cara yang meyakinkan.

Bagi mempengaruhi rakyat, cara lebih penting, logik dan kebenaran dikebelakangkan. Oleh itu, tidaklah menghairankan apabila pembangkang berjanji segala yang muluk-muluk, segala yang sempurna, pada hal kita semua tahu dunia bukannya syurga.

Kerajaan memilih jalan munasabah, iaitu bertindak membantu rakyat secara konkrit, bantuan kepada keluarga berpendapatan rendah, bantuan kepada pelajar dan seumpamanya.

Pembangkang menyebut masa depan cemerlang jika mereka menang. Masalah ada di hadapan, jika pembangkang menang ialah untuk menentukan apakah yang sebenar-benarnya dikehendaki rakyat dan kemudian cara melayani kehendak itu.

Saya melihat masalah ini berpunca daripada dasar dan fokus berbeza-beza antara satu parti dengan yang lain. Jika menang, PAS tentulah mengutamakan hukum Islam, pemimpin mereka memberikan tumpuan kepada hukum hudud berkali-kali. 
Pada masa makalah ini ditulis, hukum hudud muncul bagi kali yang entah berapa. DAP tidak menyenanginya. Dalam PAS hanya Mohammad Sabu berfikiran selari dengan DAP dan hampir-hampir mendekati aktivis progresif Hishamuddin Rais, iaitu pembahagian kek ekonomi secara adil kepada rakyat dengan stail sosialis.

Tokoh lain, baik dari Umno mahupun PAS, tidak demikian. Mohammad Sabu ada keyakinan boleh menang di kawasan bandar yang pengundinya orang Cina atau lain-lain.

DAP tentulah (logiknya) menyukai tokoh ini untuk dibawa ke arah fahaman Malaysian Malaysia. Memang ada beberapa orang Melayu dalam DAP yang berfahaman begitu, terutama apabila terdidik terasing daripada budaya ibunda.

Secara keseluruhan, peratusan orang Melayu yang cocok dengan gaya DAP amat kecil. Dapatlah kita simpulkan, jika pakatan pembangkang menang, selepas hubungan DAP dan PAS diperhalusi, mereka tidak akan menuju ke arah keharmonian. Kini, hubungan yang sesekali agak baik antara PAS dengan DAP berlangsung hasil tindakan amat politikal oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Memang Anwar berbakat besar melaksanakan tugas demikian, tetapi adakah seluruh rakyat akan diperjudikan untuk berharap kepada seorang ahli politik? Pertentangan antara Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan Karpal Singh berkaitan negara Islam tidak pernah terpadam.

Kita tinjau PKR pula. Oleh sebab Anwar menjadi ketua dalam hal imej, biarpun bukan menang pertandingan dalam parti itu, arah PKR ialah arah Anwar. Ketua seperti ini, jika di dalam hikayat ialah ketua legenda.

Tokoh legenda dipercayai hebat, padahal mungkin baik sedikit saja daripada pengikut.

Pakatan pembangkang yang terdiri daripada DAP, PAS dan PKR, sama-sama berjanji untuk membawa kemajuan kepada rakyat Malaysia, tetapi jalannya tidak jelas. Masing-masing kita boleh berfikir, cuma saya bimbang kaedah pentadbiran oleh tiga parti yang masing-masing mempunyai impian yang berlainan. Wujudkah kemungkinan itu?

Pembangkang bukan tidak berguna. Jika pembangkang tidak berguna, kita tidak usah memilih demokrasi. Kini, kegiatan pihak pembangkang (bagi sesetengah pendapat) menyebabkan pihak kerajaan kian rajin berusaha memenuhi keperluan rakyat.

Ertinya sahlah pembangkang berperanan. Anwar menyatakan, jika pakatan pembangkang gagal mengambil alih Kerajaan Malaysia, beliau akan bersara dan menjadi pensyarah. Saya menterjemahkan kata-katanya itu sebagai penanda beliau rasakan menjadi pensyarah adalah sama, atau lebih baik daripada menjadi Perdana Menteri. Pengalaman sejumlah pensyarah memang boleh mengesahkan kenyataan itu.

Jika kerajaan yang ada sekarang masih berkuasa, Anwar menjadi pensyarah, saya kira ganti Anwar masih boleh dicari. Ada kemungkinan ketua pembangkang yang akan datang bukan tokoh legenda. — Berita Harian

* This is the personal opinion of the writer or publication and does not necessarily represent the views of The Malaysian Insider.

via http://www.themalaysianinsider.com/sideviews/article/pilih-pemimpin-realiti-bukan-lagenda-rahman-shaari/

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: