‘Pengundi hantu’ saluran satu — Kunta Kinte Original

10 May


10 MEI — Sebenarnya Kunta Kinte teringin juga nak cerita pasal pilihan raya umum 5 Mei lepas. Tapi pasal orang lain dah banyak yang tulis jadi kalau Kunta Kinte nak tulis pun, Kunta Kinte tak mahulah tulis yang serius-serius. Kunta Kinte nak tulis yang ringan-ringan saja.

Mula-mula sekali Kunta Kinte nak cerita pasal pengalaman Kunta Kinte mengundi tahun ini. Rasa-rasa Kunta Kintelah, Kunta Kinte mungkin jatuh dalam kategori pengundi hantu. Tapi nasib baiklah tak kena gasak oleh pekerja-pekerja parti yang melampau dan ganas. Boleh jadi pasal muka Kunta Kinte tak nampak macam Bangla atau Nepal. 

Kunta Kinte kata Kunta Kinte mungkin jatuh dalam kategori pengundi hantu pasal kalau ada mana-mana parti politik atau pihak cuba cari Kunta Kinte tentu tak jumpa. 

Kisahnya macam ni. Kunta Kinte mendaftar di Bandar Baru Bangi dalam kerusi Parlimen Serdang dan kerusi Dewan Undangan Negeri Bangi. Masa Kunta Kinte mula mengundi pada 1974 Kunta Kinte tinggal di Hulu Langat.

Masa itu kawasan pilihan raya tak banyak tapi sangat luas. Di Selangor ada 11 kerusi Dewan Rakyat dan 33 DUN. Sekarang ada 22 Parlimen dan 56 DUN. Pada awal 1980-an Kunta Kinte beli rumah di Bandar Baru Bangi (BBB). Kalau tak silap Kunta Kinte, masa tu BBB jatuh dalam kerusi Parlimen Sepang dan DUN Dengkil. Umno wakili BN di kerusi Parlimen dan MIC di kerusi DUN sebab masa tu ada banyak ladang di kawasan berkenaan.

Awal 1990-an Kunta Kinte beli rumah di Subang Jaya. Masa tu Sime Darby bagi potongan harga sangat baik sebab rumah tak laku akibat ekonomi yang meleset. Tapi Kunta Kinte tak ubah tempat mengundi.

Jadi kalau selepas itu ada parti politik yang pergi cari Kunta Kinte di alamat yang tercatat dalam senarai pendaftaran pengundi di BBB, tentulah tak jumpa. Lagipun, rumah yang Kunta Kinte milik di BBB itu dah Kunta Kinte jual. 

Saluran khas untuk OLU

Kalau tak silap Kunta Kinte dah empat kali Kunta Kinte undi ikut saluran satu. Saluran ni adalah saluran untuk orang tua-tua. Maklumlah bila dah tua, nak beratur lama-lama pun tak kuat. Silap-silap jatuh pengsan langsung tak boleh mengundi. Jadi, terima kasihlah kepada Suruhanjaya Pilihan Raya kerana adakan saluran khas untuk OLU (orang lanjut usia).

Hari Ahad lepas, masa mengundi, Kunta Kinte ambil masa tak sampai lima minit pun dari waktu dapatkan nombor saluran hinggalah masukkan kertas undi ke dalam tong. Tapi ada juga orang kata, bilangan pengundi saluran satu makin kurang. Boleh jadi banyak yang dah mati, sakit atau tak minat lagi dengan pilihan raya.

Tahun ini Kunta Kinte nampak saluran orang pertengahan usia dan orang muda cukup panjang. Sampai ada yang patah hati atau balik dulu untuk berehat dan tunggu sebelah petang bila bilangan pengundi berkurangan. Kali ini peratusan yang keluar mengundi paling tinggi. Baguslah macam tu sebab nampaknya rakyat jelata kita, terutama yang muda-muda, lebih ambil berat tanggungjawab sebagai pengundi.

Kunta Kinte seronok dan bangga tengok besarnya bilangan pengundi baru dan pengundi muda yang keluar mengundi. Inilah yang kita mahu sebab apa yang kita buat hari ini baik atau buruk yang akan mewarisinya adalah generasi muda, anak cucu kita.

Beri nasihat generasi muda

Sebab itu jugalah Kunta Kinte dah buih mulut cakap bagilah peluang kepada generasi baru untuk cergas dalam politik dan bila mereka sudah bersedia, kita bagilah kepada mereka. Jangan dok sekat dan cincang. Kita pun bukan nak tongkat langit. Tapi orang muda pun janganlah berasa pandai dan bongkak sebab mereka mengaji tinggi sampai tak hormat orang tua.

Kunta Kinte cadangkan semua parti politik tubuh Majlis Penasihat Veteran atau orang putih kata Council of Elders untuk bagi nasihat dan jadi mentor kepada pemimpin muda dan yang baru naik. Janganlah kita campak mereka macam surat khabar lama sampai ada yang merajuk dan lawan parti sendiri.

Kunta Kinte harap bilangan yang lebih besar keluar mengundi kali ini akan jadi dorongan dan desakan kepada wakil-wakil rakyat dan parti-parti politik supaya bekerja lebih kuat demi kesejahteraan rakyat jelata dan negara. Kita wajib tahu tanggungjawab masing-masing. 

Tak akan jadi wakil rakyat kalau rakyat tak pilih. Oleh sebab tu, mereka kenalah hormat dan takut kepada rakyat. Bukan terbalik kong kita pula yang takut kepada mereka. Kalau mereka buat salah kita wajib tegur sebab kita pilih mereka untuk buat yang baik, bukan buat jahat. Kita pilih mereka bukan anak bini dan suku-sakat mereka. Itu kena faham betul-betul.

Kunta Kinte pun sangat bersyukur kerana pilihan raya kali ini berjalan lancar dan tak adalah kejadian-kejadian yang terlalu buruk. Bergaduh kecil-kecil tu adalah tapi taklah sampai merusuh dan buat keganasan.

Tahniah kepada semua dan kita terimalah keputusan pilihan raya dengan fikiran terbuka. Tak payahlah kita tuduh-menuduh dan tuding-menuding jari. Kalau tak puas hati gunakanlah saluran yang betul. Ikut undang-undang dan peraturan. Kalau gatal sangat nak tunjuk perasaan, biarlah aman dan tak ganggu orang ramai. 

Wallahualam.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

 

via http://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/pengundi-hantu-saluran-satu-kunta-kinte-original/

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: